Rangkap Ketujuh Gurindam 12 – Kata-kata Seorang Pemimpin

February 17, 2013 in Umum

Disediakan oleh, Wan Nurhidayat bin Wan Muhamad, Yang Dipertua MPP UPNM.

Apabila banyak berkata-kata
Di situlah jalan masuk dusta

Apabila banyak berlebih-lebihan suka
Itulah tanda hampirkan duka

Apabila kita kurang siasat
Itulah tanda pekerjaan hendak sesat

Apabila anak tidak dilatih
Jika besar bapanya letih

Apabila banyak mencela orang
Itulah tanda dirinya kurang

Apabila orang yang banyak tidur
Sia-sia sahajalah umur

Apabila mendengar akan khabar
Menerimanya itu hendaklah sabar

Apabila mendengar akan aduan
Membicarakannya itu hendaklah cemburuan

Apabila perkataan yang lemah lembut
Lekaslah segala orang mengikut

Apabila perkataan yang amat kasar
Lekaslah orang sekalian gusar

Apabila pekerjaan yang amat benar
Tidak boleh orang berbuat onar.

 

Implementasi Mesej Pasal Ketujuh Gurindam Dua Belas dalam diri Warga UPNM

Rangkap pertama menyampaikan mesej untuk berkata benar dan tidak berdusta, selaras dengan nilai integriti yang diangkat sebagai moto UPNM. Mesej ini juga disampaikan dalam rangkap terakhir untuk kita bersikap benar juga dalam pelaksanaan tugas.

Rangkap kedua menjelaskan aspek kesederhanaan dalam bergembira. Budaya hedonisme perlu dielakkan dan seharusnya warga UPNM perlu menerapkan nilai-nilai ketimuran dan ajaran agama dalam kehidupan.

Rangkap keenam, menyentuh perihal orang yang banyak tidur secara literalnya bileh ditafsir dengan masa yang disia-siakan dengan tidur. Secara kontekstualnya, sebagai warga UPNM, kita seharusnya memanfaatkan setiap masa untuk aktiviti berfaedah sebagaimana kehidupan di UPNM ini memerlukan kita mendisiplin diri dengan rutin yang padat.

Rangkap-rangkap terakhir gurindam ini berbicara tentang kaedah komunikasi yang berkesan. Seorang pemimpin haruslah menjadi pendengar yang baik dan setia dalam mendengar masalah dan aduan dari pimpinannnya. Rangkap ini juga menyarankan penggunaan perkataan yang lembut, bukannya kekasaran dalam menyampaikan teguran dan pesanan. Di Kampus Bebas Buli UPNM, penyampaian pengajaran dan teguran dalam cara yang berhemah wajar dipraktikkan dan menjadi salah satu nilai profesionalisme dalam melaksanakan tugas seharian.

Tuntasnya, nilai-nilai murni kepimpinan yang diwariskan tamadun Melayu harus dijadikan pedoman selaras dengan wawasan negara untuk menjadi sebuah negara maju mengikut acuan tersendiri.

Sekian, bersama memperkasa mahasiswa ke arah Malaysia hebat!

Kongsikan informasi

Fasal Keenam Gurindam 12 – Pengaruh Kawan dan Ikutan.

February 10, 2013 in Gurindam 12

Sahabat dan guru merupakan pengaruh terdekat kita sejak di bangku persekolahan – Gambar hiasan.


 Oleh, Dinnesh a/l Nicolas Rene Exco Hubungan Luar & Pengantarabangsaan MPP UPNM.

Cahari olehmu akan sahabat
Yang boleh dijadikan obat

Cahari olehmu akan guru
Yang boleh tahukan tiap seteru

Cahari olehmu akan isteri
Yang boleh menyerahkan diri

Cahari olehmu akan kawan
Pilih segala orang yang setiawan

Cahari olehmu akan abdi
Yang ada baik sedikit budi

 

Secara keseluruhannya fasa enam ini berceritakan tentang pergaulan dalam hidup kita. Fasa enam dalam Gurindam 12 ini juga menyarankan kita untuk mencari sahabat yang baik serta guru yang sejati yang dapat mengajar kita untuk membezakan baik buruk dalam perjalanan hidup kita ini.

Rangkap pertama menasihati kita untuk mencari sahabat yang baik dan setia. Sahabat ini haruslah baik dan boleh membantu kita apabila kita berada dalam kesusahan satu masa nanti.

Rangkap kedua pula berkisarkan tentang mencari guru yang akan memberikan ilmu tanpa sempadan. Guru ini juga akan mengajar kita semuanya tanpa menyembunyikan hal-hal buruk.

Rangkap ketiga ini menyarankan kita untuk mencari seorang isteri yang akan taat setia kepada kita. Takala susah senang, isteri ini akan tetap bersama kita dan akan berbakti kepada suaminya.

Rangkap keempat menyentuh tentang perihal kawan. Kawan yang dipilih haruslah sentiasa akan bersama kita tidak kira susah ataupun senang. Pilihan kawan kita harus adil dan janganlah yang kaya dan bernama sahaja.

Rangkap kelima menasihati kita untuk mencari pengikut ataupun pembantu yang baik. Golongan manusia ini akan berbudi kepada keluarga, masyarakat dan juga negara. Pengikut-pengikut ini patut memberikan contoh yang baik dan taat kepada pemimpin mereka.

Memperkasa mahasiswa ke arah Malaysia hebat.

 

 

 

 

 

 

 

Kongsikan informasi

Fasal Kelima Gurindam 12 – Mengenal Hati Budi Orang Lain.

February 4, 2013 in Gurindam 12, Kebudayaan, Kepimpinan, Umum

Mengenali diri dan orang lain akan membawa keharmonian pada diri kita dan insan di sekeliling – Gambar hiasan.

 

Oleh Wan Nurfaiqah Wan Yunos, Exco MPP UPNM.

‘Jika hendak mengenal orang berbangsa,lihat kepada budi dan bahasa.

Jika hendak mengenal orang yang berbahagia, sangat memeliharakan yang sia-sia.

Jika hendak mengenal orang yang mulia, lihat kepada kelakuan dia.

Jika hendak mengenal orang yang berilmu, bertanya dan belajar tiada yang jemu.

Jika hendak mengenal orang yang berakal, didalam dunia mengambil bekal.

Jika hendak mengenal orang yang baik perangai, lihat ketika bercampur dengan orang ramai.’

 

Gurindam fasal 12 merupakan himpunan karya syair yang dikarang oleh Pahlawan Nasional Kepulauan Riau sebagai mas kawin kepada Engku Puteri Hamidah yang tinggal di Pulau Penyegat, Kepualauan Riau. Sekiranya berkunjung ke Makam Engku Puteri Hamidah, pengunjung akan berpeluang melihat sendiri 12 fasal gurindam tersebut yang dipahat pada marmar dan ditampal di sekeliling makam. Setiap fasal merupakan syair nasihat yang sangat berguna dan sesuai dijadikan sebagai satu pegangan dalam hidup.

Di sini saya akan menyingkap serba sedikit fasal kelima dari sudut pandangan saya sebagai seorang  pemimpin mahasiswa dan mahasiswa itu sendiri. Pada rangkap pertama, penulis bermaksud bahawa melalui budi pekerti dan tutur bahasa, kita dapat mengenali sesuatu bangsa itu. Kerajaan sendiri pernah menguar-uarkan slogan ‘Bahasa itu Jiwa Bangsa’  dan kempen ‘Budi Bahasa Amalan Mulia’ lantas membuktikan kepentingan bahasa dan keluhuran budi pekerti itu sendiri. Pada masa yang sama juga,  Sebagai seorang mahasiswa yang bakal menerajui negara pada masa hadapan, kita haruslah membentuk budi pekerti yang luhur dan tutur bahasa yang sopan dalam diri agar negara yang akan dipimpin kelak diwarisi oleh bangsa yang berbudi.

‘Masa itu Emas’ merupakan satu ungkapan yang acap kali kita dengar sebagai pesanan untuk menghargai masa. Melalui rangkap ini, Raja Ali Haji bermaksud orang yang mengelakkan diri dari perbuatan sia-sia merupakan orang yang bahagia. Sebagai mahasiswa, rangkap ini wajar dijadikan iktibar. Sebagai contoh, mahasiswa yang sentiasa menghargai masa senggang dengan akitiviti-aktiviti berfaedah seperti menelaah, bersukan, membuat aktiviti sukarelawan dan sebagainya akan sentiasa gembira walaupun sibuk. Hal ini demikian kerana, setiap detik yang terluang itu bukan sahaja dapat menambah pengetahuan atau pengalaman bahkan memberi satu kepuasan dalam diri mereka. Justeru itu, pihak universiti sentiasa menitik beratkan aspek-aspek sebegini dalam diri mahasiswa.

Pada rangkap ketiga pula, penyair berpesan bahawa orang yang mulia pekertinya dapat dilihat melalui kelakuannya. Berkelakuan baik mencerminkan keperibadian seseorang tidak kiralah sama ada hubungan dengan orang tua, dengan masyarakat mahu pun dengan keluarga. Mahasiswa yang cemerlang bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran tetapi juga seorang mahasiswa yang mepunyai keperibadian yang mulia kerana golongan inilah yang akan memegang tampuk negara pada masa hadapan kelak.

Kata orang ilmu itu tiada sempadan. Pada rangkap ini, penyair bermaksud, seseorang yang berilmu ialah seorang yang suka bertanya dan tegar menimba ilmu pengetahuan. Rangkap ini sangat dekat sebenarnya dengan mahasiswa sebagai golongan yang sedang menimba ilmu. Mahasiswa seharusnya membuang sikap malu untuk bertanya sewaktu pembelajaran agar ilmu yang disampaikan diperoleh sepenuhnya. Selain itu, mahasiswa juga haruslah mempunyai sikap ingin menimba ilmu pengetahuan baru agar menjadi seorang mahasiswa yang berkualiti yakni mempunyai pengetahuan dalam pelbagai bidang.

Raja Ali Haji bukan sahaja memberi pesan berkenaan hal-hal duniawai tetapi juga dari aspek Islam itu sendiri. Beliau menegaskan bahawa orang yang berakal ialah orang yang menjadikan dunia sebagai tempat mencari bekalan untuk ke akhirat kelak. Mahasiswa pada masa ini perlulah sedar bahawa dunia ini hanyalah satu tempat persinggahan yang tidak kekal lama. Dalam sibuk mengejar ilmu dunia, mereka juga haruslah melengkapkan diri dengan ilmu agama.

Akhir sekali, pada rangkap terakhir ini, Raja Ali Haji berpesan bahawa kita dapat mengenali baik dan buruk perangai seseorang itu sewaktu bergaul dengan orang ramai. Orang yang baik akan sentiasa melayan dan dilayan baik.manakala orang yang buruk pekertinya walau melayan baik orang lain, dia mungkin akan dilayan buruk oleh orang lain. Oleh itu, seseorang itu haruslah menjaga perlakuan sewaktu bergaul dengan orang lain.

Kesimpulannya, melalui perilaku, bahasa dan tabiat kita dapat mengenali peribadi seseorang. Kata orang peribadi itulah yang mencerminkan baik dan buruk seseorang itu. Maka, sebagai mahasiswa yang cemerlang dan merupakan harapan masyarakat, kita haruslah melatih diri menjadi seorang yang berpersonafikasi baik dan sopan. Dengan demikianlah, akan wujud golongan masyrakat pada masa hadapan yang berperibadi tinggi. Semoga, gurindam ini akan dijadikan satu ingatan kepada mahasiswa UPNM dalam menjadi ‘role model’ kepada masyarakat di luar sana kelak.

Sekian, memperkasa mahasiswa ke arah Malaysia hebat.

 

Kongsikan informasi

Fasal 4 Gurindam 12 – Kemuliaan Akhlak Kunci Kejayaan Pelajar

January 28, 2013 in Gurindam 12

 

Kemuliaan akhlak menjamin kehidupan insan di dunia dan akhirat – Gambar hiasan.

Oleh Hasnan Bin hasan, Exco Kerohanian dan Pembangunan Sahsiah Pelajar

Hati Itu kerajaan di dalam tubuh

Jikalau zalim segala anggota pun rubuh

apabila dengki sudah bertanah

datang daripadanya beberapa anak panah

mengumpat dan memuji hendaklah pikir

di situlah banyak orang yang tergelincir

pekerjaan marah jangan dibela

nanti hilang akal di kepala

jika sedikit pun berbuat bohong

boleh diumpamakan mulutnya itu pekung

tanda orang yang amat celaka

aib dirinya tiada ia sangka

bakhil jangan diberi singgah

itulah perompak yang amat gagah

barang siapa yang sudah besar

janganlah kelakuannya membuat kasar

barang siapa perkataan kotor

mulutnya itu umpama ketor

di mana tahu salah diri

jika tiada orang lain yang berperi

pekerjaan takbur jangan direpih

sebelum mati didapat juga sepih

 

Dalam gurindam fasa ke empat, allahyarham Raja Ali lebih memfokuskan tentang diri sendiri serta tabiat mulia yang muncul dalam hati nurani seseorang insan. Selain itu juga bagaimana kita hendak melengkapkan diri dengan sifat2 yang baik lagi terpuji sifat sifat yang mahmudah. Disamping itu juga, dalam gurindam ini, allahyarham menyatakan secara jelas apa yang akan berlaku jika seseorang itu bersikap yang kurang mulia itu. Di dalam gurindam ini merangkumi 11 rangkap yang merangkumi soal hati, dengki, amalan mengumpat, perasaan marah, amalan berbohong, tanda orang yang celaka, sifat bakhil, berbuat sesuatu yang benar, kata-kata yang tidak baik, bertanggungjawab dan akhir sekali sifat takhbur.

Pada rangkap pertama, allahyarham menggunakan hati sebagai mukaddimah kepada gurindam ke empat. Hal ini menunjukkan hati manusia sangat penting dan hendaklah dijaga dengan sempurna. Hati merupakan organ yang sangat penting sehinggakan Rasulullah pernah bersabda, di dalam badan manusia ada segumpal daging, jika kotor daging itu, maka rosaklah seseorang itu. Dan daging tu merupakan hati. Hadith ini turut diabadikan oleh kumpulan mestika yang bertajuk destinasi cinta. Jadi tidak salahlah jika Raja Ali Haji menyatakan dalam gurindamnya hati itu kerajaan di dalam tubuh. Kerajaan di sini merujuk kepada pemerintah atau penguasa atau sesuatu yang amat penting, kerana melalui kerajaanlah segala pentadbiran dan keputusan akan diambil. Jika salah keputusan yang diambil, maka rosaklah seluruh seluruh anggota badan.

Sebagai contoh seorang lelaki yang ingin melakukan kemungkaran dan merosakkan hidup seorang gadis yang dikenalinya kerana gadis tersebut memalukannya di khalayak ramai dan menolak cintanya. Walaupun lelaki itu pada awalnya seorang yang sangat baik dan menjaga adabnya. Namun atas kerana kemarahanya terhadap gadis tersebut berusaha dengan pelbagai cara dan usaha untuk mencapai matlamatnya itu. Akan tetapi pada saat dia ingin melakukan sesuatu pada ketika itu terdetik hatinya mendengar nasihat daripada kawannya. Maka dia akan segera membatalkan niatnya. Kerana hatinya sebelum ini bersih. Cuba bayangkan jika hati lelaki itu kotor, segala nasihat tidak akan dapat melembutkan hatinya yang kotor lagi keras.

Dalam rangkap ke dua, allahyarham menekankan sikap manusia yang suka berdengki. Tidak dinafikan sifat dengki itu sudah tidak asing lagi dalam masyarakat sekeliling kita. Bertanah yang dinyatakan dalam rangkap kedua ini membawa maksud sesuatu yang sudah lama yang sudah bersarang dan sangat kukuh. Contohnya sarang tebuan tanah, sarang tersebut dibuat daripada tanah liat yang dicantumkan sedikit demi sedikit. Lantas sebuah sarang yang kukuh terbentuk. Begitulah juga dengan perasaan dengki dalam diri seseorang, apabila ia dah menjadi menebal dalam diri manusia.

“Datang daripadanya beberapa anak panah” membawa maksud musibah itu sendiri yang akan menimpa dirinya sendiri angkara perbuatannya sendiri, atas akibat tangan mereka sendiri. Sepatutnya umat islam itu umpama batu bata yang kukuh, disusun secara teratur dan dapat menangkis segala anasir jahat dari luar, namun apabila dalam diri manusia itu berputik sifat dengki antara satu sama lain, di situlah kita akan dapat melihat kehancuran batu bata tersebut. Manusia yang mempunyai sifat dengki ini biasanya akan menjadi guntung dalam lipatan, api dalam sekam dalam sesebuah organisasi. Mereka sebegini seharusnya sedar bahawa sifat dengki hanya akan memakan diri sendiri umpama meludah air liur kelangit, akhirnya jatuh ke muka sendiri juga.

Dalam rangkap ke tiga, allahyarham menekankan sikap manusia yang suka mengumpat dan memuji. Mengumpat dijelaskan sebagai membicarakan perihal laku orang lain tanpa pengetahuan empunya badan. Manakala memuji pula ditakrifkan sebagai menceritakan perihal baik seseorang kepada orang lain. Terdapat satu kisah di mana pada zaman Saidina Umar Al-Khattab, ada sahabat memuji beliau, lantas Saidina Umar kembali ke rumahnya lalu dalam keadaan menangis yang terlampau kuat sehinggakan diceritakan air mata Umar yang keluar menyebabkan janggutnya basah. Apabila ditanya kepada Umar, “wahai Umar, kenapa kamu menangis sedemikian rupa” lalu Umar menjawab. “aku menangis kerana aku takut akan api neraka yang berada di hadapan aku”. Melalui kisah ini kita dapat fahami bahawa dalam diri manusia wujudnya sifat ri’ak apabila dipuji. Sedangkan sahabat baginda yang dijamin syurga kepadanya pun takut akan perasaan ini dari wujud dalam dirinya.

Oleh kerana itu, amat penting kita menjada kata kata dalam berbicara, sebagaimana pepatah melayu ada berkata, “terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata badan akan binasa”. Kata kata yang telah diungkapkan tidak mungkin dapat ditarik kembali. Kerana itulah setiap daripada kita harus mempunyai ilmu yang cukup agar apa yang kita perkatakan tidak akan dipertikaikan dan dijadikan fitnah oleh pihak yang lain. Dalam agama islam sendiri ada menasihatkan umatnya agar berkata perkara yang baik sahaja, jika tiada apa yang ingin diperkatakan, maka berdiam diri adalah lebih baik.

 Artikel penuh di buletin Inssprasi keluaran BHEPA UPNM.

Sekian, memperkasa mahasiswa ke arah mahasiswa hebat.

Kongsikan informasi
Visit Us On TwitterVisit Us On FacebookVisit Us On Google PlusVisit Us On Youtube